SHAH ALAM – Tugas anggota bomba ternyata serba boleh apabila menjadi bidan terjun menyambut kelahiran seorang bayi perempuan di pekarangan Balai Bomba Kota Anggerik, malam tadi.
Insiden tersebut berlaku pukul 8.20 malam apabila air ketuban kepada seorang wanita yang hamil berusia 29 tahun itu pecah menyebabkan seorang anggota bomba perempuan di balai itu membantu menyambut kelahiran bayi tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, terdahulu wanita itu bersama suaminya berusia 30 tahun dalam perjalanan ke Hospital Shah Alam dari rumah mereka di Puncak Alam.
Katanya, dalam perjalanan tersebut wanita hamil itu mendapati merasa sakit untuk bersalin dengan air ketuban telah pecah sebelum memasuki balai bomba ini kira-kira pukul 7 malam.
Anggota kemudiannya menghubungi pihak hospital untuk bantuan seterusnya.
“Semasa menunggu ambulans, wanita tersebut melahirkan anak perempuan dengan disambut anggota kami iaitu Norsyuhadah Ahmad.
“Bayi itu dan ibunya yang selamat kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulan Kementerian Kesihatan ( KKM ) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jelas beliau, difahamkan bayi tersebut merupakan anak kelima kepada pasangan tersebut.
– K! ONLINE.