Edisi 7

Pelanggan maki peniaga kerana berang ditegur tak pakai "facemask" disiasat polis


KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki memaki hamun peniaga yang menegurnya kerana tidak memakai pelitup muka sewaktu membeli makanan di sebuah gerai di Jalan Desa Bakti, di sini pagi tadi mengundang padah apabila kejadian berkenaan kini disiasat pihak polis.


Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, siasatan berhubung kejadian telah dibuka selepas pihaknya menerima laporan daripada anak peniaga berkenaan yang berusia 22 tahun kira-kira pukul 3.40 petang tadi.


“Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi sewaktu pengadu dan ibunya sedang berniaga menjual nasi lemak di kawasan tersebut.


“Menurut pengadu, seorang lelaki telah datang ke kedai dan memaki hamun ibunya serta seorang pelanggan lain selepas ditegur tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Basri, kejadian tersebut telah dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi dengan menggunakan telefon bimbit dan telah memberikan rakaman tersebut kepada pengadu.


“Menerusi rakaman video berdurasi 29 saat itu, suspek dilihat memaki dan memarahi ibu pengadu serta pelanggan lain selepas ditegur kerana tidak memakai pelitup muka.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) kerana melanggar SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” tegas beliau.





Tambah Basri, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian serta hendaklah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan sebarang pelanggaran SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara boleh dikenakan tindakan undang-undang.


LAZADA 10.10

LAZADA 10.10 Tenaga Sale!

Nikmati potongan harga 60% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!