Edisi 7

Rumah kami sudah tidak bergelap lagi



Kota Bharu: "Alhamdulillah, kami sudah tidak bergelap atau perlu menyalakan lilin lagi pada waktu malam kerana sudah ada individu yang menyumbangkan panel solar untuk kegunaan kami lima beranak," kata R Monaliza R Berahim.


Kisah R Monaliza, 42, bersama suami dan tiga anaknya yang tinggal berhimpit di sebuah stor baja tanpa bekalan air dan elektrik serta kemudahan tandas di Kampung Pasir Tok Kambing di sini, mengundang simpati ramai pihak.


Selepas kisahnya dilaporkan baru-baru ini, pelbagai pihak tampil membantu sama ada dari segi kewangan atau barangan termasuk sumbangan tiga panel solar bagi menggantikan lilin yang digunakan mereka sejak setahun menghuni stor baja itu.


R Monaliza berkata, seawal 7.30 malam mereka mula menghidupkan panel solar terbabit sekali gus memberi keselesaan buat mereka sekeluarga.


"Kami juga sudah tidak perlu ke rumah saudara lagi untuk mengecas telefon yang kerap digunakan tiga anak untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


"Sebelum ini, memang kerap juga sebuah telefon yang kami guna secara berkongsi kehabisan bateri dan tidak dapat dicas menyebabkan banyak kerja sekolah dan kelas dalam talian tidak dapat dibuat oleh anak," katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini, semalam.


Lima beranak itu menghuni stor baja milik Jabatan Pertanian negeri berikutan suaminya, Azlin Abdul Ghani, 46, adalah peserta pertanian dan sebelum ini mereka menumpang rumah saudara namun mengambil keputusan untuk berpindah kerana enggan terus membebankan mereka.


R Monaliza berkata, susulan daripada kisah hidup mereka dilaporkan media baru-baru ini, dia dan suami yang mengusahakan tanaman kunyit sejak beberapa tahun lalu didatangi wakil Jabatan Pertanian negeri yang berjanji akan memberi bantuan pertanian berjumlah RM10,000.


Sambil mengucapkan syukur, dia berkata, sehingga kini masih belum ada pihak yang membantu mereka dari segi menyediakan kediaman lain dan mereka masih lagi menghuni stor baja yang dilengkapi tiga ruang kecil malah masih juga membuang air di dalam semak berikutan tiada kemudahan tandas.


"Kami juga mandi di perigi yang dipenuhi jentik-jentik dalam keadaan terbuka. Walaupun lokasi agak jauh ke dalam tapi bimbang juga jika ada yang lalu lalang," katanya.


Terdahulu, mereka sekali lagi menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Che Norhayati Mohamed yang hadir menyerahkan telefon pintar sumbangan individu yang enggan dikenali.


Che Norhayati berkata, telefon itu adalah untuk kegunaan tiga anak R Monaliza iaitu Nur Auni Masturina Balqis Azlin, 16; Nur Nuha Mursyida, 14, dan Muhammad Adam, 11.


"Selain itu, kami juga akan membantu keluarga ini membina rumah sementara di tapak yang sama dengan dilengkapi tandas serta bilik mandi dan untuk tujuan itu kami sangat mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak agar proses pembinaan dapat dijalankan secepat mungkin," katanya.


LAZADA 10.10

LAZADA 10.10 Tenaga Sale!

Nikmati potongan harga 60% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!