Syarikat didenda RM35,000 sebabkan kematian pekerja
IPOH – Sebuah syarikat pemasangan perancah besi didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal memastikan tahap keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan kematian dua pekerja warga Myanmar tahun lalu.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan memberitahu, syarikat itu sebagai majikan dijatuhi denda tersebut selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Syarikat Team Scaffolding and Insulation Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Lau Kiew Ling, 39, juga berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja dengan perancah yang dipasang tidak mengikut reka bentuk yang selamat.
Akibatnya dua orang pekerja iaitu Nay Lin, 25, dan Maung Maung Win, 32, mengalami kemalangan akibat jatuh dari tempat tinggi di Tasek Corporation Berhad, Persiaran Tasek, Tasek Industrial Estate pada pukul 12 tengahari 5 Oktober 2020.