Edisi 7

Tutup kilang sudah tidak relevan, kerajaan jangan nafikan hakikat - Pakar


KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menutup sektor perkilangan ketika ini dilihat tidak lagi relevan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.


Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berpendapat, ini adalah kerana jumlah pemberian vaksin setiap hari yang semakin meningkat boleh memberi sedikit kelegaan.

"Kita kena rasional. Buka sektor perkilangan kena ada langkah kawalan, dan kita sendiri yakin boleh kawal.
"Pemberian vaksin 100 peratus kepada pekerja atau sekurang-kurangnya 80 peratus. Itu yang kita kena fokus sekarang.

"Penutupan sektor perkilangan bukan cadangan rasional dalam peringkat sekarang. Saya harap kita mengambil kira fakta sains dan teknikal untuk beri cadangan," katanya dalam temu ramah di Buletin AWANI di sini, hari ini.


Namun begitu, Dr Zainal juga melihat kerajaan perlu mengakui bahawa sektor perkilangan merupakan antara penyumbang jumlah jangkitan yang besar.
"Hakikatnya, sejak penghujung tahun lepas, kita nampak jangkitan banyak berlaku dalam sektor ini.


"Operasi kilang memerlukan pergerakan dan interaksi besar. Jangkitan juga bukan sahaja berlaku dalam kalangan pekerja tetapi juga melimpah ke dalam komuniti.
"Seperti yang saya sebut, sekarang ini masa untuk bergerak ke hadapan. 

Fokus vaksinasi dan juga aspek penguatkuasaan SOP, termasuk menambahbaik fasiliti tempat tinggal pekerja," ujarnya lagi.

Dalam sidang Mesyuarat Khas Parlimen pada Isnin, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan kepercayaan bahawa kilang merupakan penyumbang utama kes COVID-19, adalah terpesong.

Sementara itu, Dr Zainal juga menasihatkan kerajaan agar mengambil langkah berjaga-jaga untuk memberi kebenaran perjalanan rentas daerah dan negeri bagi yang sudah lengkap dua dos vaksin.


"Kita mengalu-alukan cadangan kelonggaran kepada penerima vaksin lengkap, tetapi jangan leka. Perlu dilakukan dengan terperinci dan berhati-hati.

"Mungkin boleh fokus terhadap negeri-negeri atau lokasi hijau terlebih dahulu, seperti Labuan dan Langkawi," katanya.

LAZADA 10.10

LAZADA 10.10 Tenaga Sale!

Nikmati potongan harga 60% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!