Warga emas maut tercekik buah melaka
Kuala Lipis, Pahang: Seorang warga emas maut selepas tercekik buah melaka ketika menjamah kuih berkenaan di rumahnya di Kampung Lentang, di sini, hari ini.
Mangsa, Siti Meriam Abdul Rafar, 82, disahkan meninggal dunia di Hospital Lipis pada 11 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, punca kematian wanita itu adalah kerana tercekik.
"Ketika kejadian, mangsa sedang menikmati juadah berkenaan bersama anak lelakinya," katanya.
Katanya, mangsa yang tinggal di Kampung Lentang, di sini, segera dikejarkan ke hospital oleh anak lelakinya berusia 41 tahun selepas menyedari ibunya tercekik kuih berkenaan.
"Pada mulanya anaknya menghubungi pihak klinik kampung memaklumkan kejadian itu namun dia dinasihatkan supaya terus membawa mangsa ke Hospital Lipis," katanya.