Edisi 7

Bau busuk bongkar penemuan mayat pesakit Covid-19


PETALING JAYA – Seorang doktor hari ini berkongsi kisah menyayat hati mengenai seorang lelaki dalam keadaan tenat dan penemuan mayat seorang wanita yang meninggal dunia akibat Covid-19 selepas saudaranya terhidu bau busuk dari rumah mereka.

Dr. Hana Hadzrami yang merupakan pakar bius berkata, ketika ditemui, lelaki tersebut yang disahkan positif Covid-19 berada dalam keadaan separuh sedar terbaring di ruang tamu dengan paras oksigennya serendah 40 peratus.

“Dalam sebuah bilik pula ada mayat seorang wanita yang mulai reput berkemungkinan adik atau kakak pesakit tersebut. Entah berapa lama dia sudah meninggal dunia.

“Mereka berdua dijangkiti Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah. Sudah lebih 10 hari lelaki itu bergejala,” tulisnya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Menurutnya, sebaik tiba di hospital, lelaki tersebut diintubasi dan keadaannya sangat kritikal dengan beberapa organ terjejas akibat hypoxia (kandungan oksigen yang rendah).

Katanya, pesakit tersebut mungkin tidak mengetahui cara hendak memantau paras oksigen di rumah sehingga dia pengsan.

“Terbayang saat-saat akhir mereka berdua di rumah. Sesiapa ada jiran yang menjalani kuarantin, silalah ambil tahu. Jika anda positif Covid-19, janganlah mendiamkan diri berseorangan dalam rumah.

“Beritahu ahli keluarga atau kawan-kawan. Ini hari mereka, mungkin kemudian hari kita pula,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan mesin oksimeter mudah alih sebagai persediaan jika ada jiran atau saudara mara yang positif Covid-19 dan ia boleh digunakan untuk memantau paras oksigen di rumah. 

– K! ONLINE

LAZADA 10.10

LAZADA 10.10 Tenaga Sale!

Nikmati potongan harga 60% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!