Pasangan kekasih remaja ditahan kes buang bayi


KUCHING: Polis menahan sepasang kekasih berusia 16 tahun disyaki terbabit kes pembuangan seorang bayi di Kampung Siol Kandis, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan orang memaklumkan seorang bayi perempuan masih hidup, ditemui ditinggalkan di kampung itu kira-kira jam 5.30 pagi.

Susulan itu, beliau berkata, polis berjaya menahan sepasang kekasih dalam tempoh kurang empat jam kemudian.

"Polis turut merampas pakaian yang dipakai oleh kedua-dua remaja terbabit ketika kejadian, sebuah motosikal, telefon bimbit dan sehelai tuala," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan hasil siasatan awal, beliau berkata, pasangan kekasih itu mengaku meninggalkan bayi berkenaan selepas mangsa dilahirkan kira-kira jam 2 pagi.

"Remaja perempuan dan bayi terbabit sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan doktor, manakala uri dihantar ke Jabatan Forensik HUS bagi tindakan lanjut.

"Remaja lelaki terbabit pula ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bagi membantu siasatan kes itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuang bayi," katanya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki yang mahu keluar bekerja pada pagi tadi, terkejut apabila menjumpai seorang bayi ditinggalkan dalam bakul motosikal miliknya di Kampung Siol Kandis.

Bayi perempuan itu ditemui dalam keadaan baik dan sempurna sifat, dipercayai dilahirkan cukup bulan.


- Berita Harian 


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!






Shopee Affiliates

Belajar Buat Duit Shopee Affiliates edisi lengkap

RM 9.90 Sahaja

(136k Terjual)