Pengsan di pintu rumah
Johor Bahru: Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di pintu rumah di Taman Pelangi Indah, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 5.58 petang itu, mangsa berusia 45 tahun dipercayai terperangkap dalam rumah sebelum disedari penduduk yang menghubungi talian kecemasan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu yang berkunci dan lelaki itu ditemukan di pintu utama.
"Dia berseorangan dalam rumah. Persoalan berapa lama dia terperangkap serta punca kejadian masih dalam siasatan.
"Kami juga tidak pasti sama ada dia ada masalah kesihatan atau tidak namun rumah didapati dalam keadaan baik," katanya menerusi siaran media hari ini.
Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada petugas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Operasi tamat pada 6.33 petang," katanya.