Syabu dalam nasi bungkus

Syabu dalam nasi bungkus

Kota Samarahan: Seorang penghantar makanan ditahan selepas menghantar 'nasi bungkus' berisi lapan paket dadah jenis syabu kepada penganggur dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Baru di sini, pagi tadi.

Penghantar makanan serta penganggur terbabit ditahan jam 11.30 pagi oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Samarahan bersama-sama petugas sekatan jalan raya (SJR) PKPD Kampung Baru.

Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, terdahulu, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap nasi bungkus itu yang kelihatan mencurigakan.

Kata beliau, ia cuba dihantar oleh penghantar makanan berusia 30 tahun terbabit untuk diserahkan kepada penganggur berkenaan dalam kawasan PKPD itu.

"Hasil pemeriksaan dalam nasi bungkus itu menemui lapan paket plastik syabu seberat 20 gram.

"Sejurus kemudian, seorang lelaki yang datang untuk menuntut nasi bungkus itu turut ditahan di SJR berkenaan," katanya pada kenyataan.

Sudirman berkata, ujian air kencing terhadap penganggur berusia 30 tahun terbabit mendapatinya positif Methamphetamine manakala penghantar makanan pula negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan perintah reman terhadap kedua-dua suspek akan dipohon esok bagi membolehkan mereka membantu siasatan.

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!






Shopee Affiliates

Belajar Buat Duit Shopee Affiliates edisi lengkap

RM 9.90 Sahaja

(136k Terjual)