Edisi 7

Detik cemas dua beradik ditimpa serpihan atap rumah



Kota Bharu: Dua beradik perempuan berdepan detik cemas apabila serpihan atap rumah yang diterbangkan ribut jatuh menimpa mereka dalam kejadian di Kampung Kijang, di sini, petang semalam.

Akibat kejadian pada 6 petang itu, remaja terbabit, Nur Aqilah Khairunisa, 13, cedera pada belakang badan manakala adik bongsunya, Nur Auni Afina, 6, pula bengkak di kepala.

Ibu mereka, Nurul Irdani Azmi, 36, berkata, ketika itu dia tiada rumah kerana bekerja di Kota Bharu dan bergegas pulang selepas menerima panggilan telefon daripada anak sulungnya, Nur Aqilah Khairunisa yang memberitahu kejadian itu.

"Suami saya, Mohd Shafien Nordin, 37, yang sedang membaiki motosikal pelanggan di hadapan rumah terkejut apabila mendengar tangisan dua beradik yang berada di dalam rumah.

"Suami terus berlari masuk mendapatkan mereka serta memeluk dan menenangkan mereka yang sedang menangis.

"Dia melihat serpihan atap bata jatuh bertaburan berhampiran dua anak kami itu manakala seorang lagi anak, Nur Aina Batrisya, 12, yang berada di dalam rumah tidak cedera," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kijang, di sini, hari ini.

Terdahulu, keluarga itu dikunjungi Pengerusi Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa, Datin Seri Nor Azizah Sulaiman yang menyampaikan sumbangan peribadi untuk meringankan beban mereka.

Nur Irdani berkata, malam tadi mereka lima beranak terpaksa tidur beralaskan plastik di ruang tamu selain berbumbungkan langit akibat sebahagian atap bata runtuh diterbangkan ribut.

Menurutnya, mereka tidak mampu membaik pulih rumah pusaka berusia lebih 60 tahun itu kerana dia hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala suami bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan sekadar cukup makan.

"Namun keresahan hati akibat kejadian ini terubat apabila pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan penghulu kampung turut membantu dan bertanya khabar," katanya.

- HMetro 

LAZADA 10.10

LAZADA 10.10 Tenaga Sale!

Nikmati potongan harga 60% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!