Edisi 7

Lelaki jaja kisah palsu keluarga maut akibat Covid-19 untuk kutip derma dipenjara, denda dan sebat


Lelaki jaja kisah palsu keluarga maut akibat Covid-19 untuk kutip derma dipenjara, denda dan sebat


"Terdahulu, dia ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kononnya kehilangan 14 ahli keluarga akibat Covid-19 dan meraih sumbangan sejumlah RM91,000."


Kota Tinggi: Penyelia kontrak di Kompleks Bersepadu Pengerang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, denda RM16,000 dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memperdaya rakan sekerja bagi mendapatkan sumbangan pada 3 September lalu.

Pengakuan dibuat tertuduh, Mohd Zahazan Zainon, 45, di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati menipu rakan sekerja dengan cara memperdaya mengatakan bahawa ahli keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19 sedangkan ia tidak benar dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM7,857 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja dengan mengatakan hal sama sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM500 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.

Kedua-dua kesalahan dilakukan tertuduh pada 3 September lalu antara jam 5.20 petang hingga 9.25 malam di Pejabat Bahagian Keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih sepuluh tahun dan boleh dikenakan denda.


Terdahulu, peguam, Nurul Hidayah Mohd Asri yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana ia kesalahan pertama dan tertuduh menanggung empat anak hasil perkahwinan terdahulu serta dua anak yang masih bersekolah di pusat tahfiz.


Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nursyamim Fateha Mohd Amin memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi.

Nurmadiana kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkapan, denda RM15,000 dan satu sebatan terhadap kesalahan pertuduhan pertama. Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara lima bulan.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman setahun penjara dari tarikh tangkapan, denda RM1,000 dan satu sebatan. Jika gagal bayar denda tertuduh boleh dipenjara sebulan.


Kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.

Sebelum itu, tertuduh yang berbaju lokap berwarna ungu sebelum itu tiba di perkarangan mahkamah pada jam 9.50 pagi diiringi anggota polis.

Terdahulu, dia ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kononnya kehilangan 14 ahli keluarga akibat Covid-19 dan meraih sumbangan sejumlah RM91,000.


LAZADA 10.10

LAZADA 10.10 Tenaga Sale!

Nikmati potongan harga 60% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!