SEPANG – Keputusan kerajaan untuk memulakan gelembung perjalanan memberi petanda baik untuk pemulihan industri pelancongan dan penerbangan menerusi projek perintis Pulau Langkawi yang bermula 16 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, AirAsia kini sedang berusaha untuk menawarkan beberapa kempen menarik untuk memulihkan sektor pelancongan di Langkawi yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Beliau berkata, AirAsia turut dibarisi kakitangan hadapan yang telah divaksin sepenuhnya serta langkah-langkah keselamatan tanpa sentuhan dan kebersihan sempena pembukaan perjalanan udara dalam waktu terdekat.
“Kami telah membuat persediaan rapi untuk kembali terbang bagi memastikan tetamu kami menikmati pengalaman perjalanan yang lebih meyakinkan dan selamat bersama AirAsia.
“Di AirAsia, kami komited untuk melaksanakan semua protokol kesihatan dan kebersihan yang ketat di sepanjang perjalanan termasuk di kawasan terminal sebelum dan selepas penerbangan selain di laluan rayap dan kargo serta semasa penerbangan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
– K! ONLINE