KOTA BHARU – Seorang lelaki meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ketika berjoging seorang diri di Kampung Pangkalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Ahmad Farouk Zawawi, 42, ditemui dalam keadaan terbaring oleh orang awam di tepi jalan berhampiran kedai di kampung itu pada pukul 9.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisoner Abdul Rahim Daud, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam yang menemui mangsa terbaring di tepi jalan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas ketika berjoging.
“Hasil soal siasat terhadap keluarga mendapati mangsa berasal dari Taman Sari, Jalan Hospital di sini dan bekerja sendiri.
“Mangsa juga dipercayai mempunyai penyakit asma dan darah tinggi, namun tidak pernah mendapat rawatan di hospital kerana penyakitnya tidak serius,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Abdul Rahim, pemeriksaan pada seluruh anggota badan mangsa tidak menemui sebarang kesan mencurigakan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk dibedah siasat dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.
-K! ONLINE