Kuala Lumpur: Lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh papan tanda jalan di Kilometer 2.5 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di sini, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komsioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 5.30 petang.
"Siasatan awal mendapati kenderaan itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 67 tahun secara tiba-tiba hilang kawalan.
"Kenderaan itu kemudiannya melanggar papan tanda di bahu kiri jalan sebelum terbabas dan terperosok ke longkang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran," katanya.
- HMetro