Gajah Pygmy Borneo dijumpai mati
"Hasil bedah siasat pula mendapati gajah itu mati dipercayai berpunca daripada keradangan teruk pada usus dan perut sehingga menyebabkan organ itu gagal berfungsi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kinabatangan: Seekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati dalam keadaan menyedihkan di kawasan Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan berdekatan Sungai Resang Sukau pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, gajah berkenaan ditemui sekumpulan penyelidik jam 8.30 pagi.
Menurutnya, satu laporan dibuat sebelum sepasukan anggota polis bersama kakitangan Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Unit Veterinar Sepilok dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
"Sebaik tiba di lokasi sejauh 66 kilometer dari Pekan Kinabatangan, pasukan berjaya menemui bangkai gajah betina berusia 25 tahun itu.
"Pemeriksaan fizikal mendapati tiada organ haiwan itu yang hilang.
"Hasil bedah siasat pula mendapati gajah itu mati dipercayai berpunca daripada keradangan teruk pada usus dan perut sehingga menyebabkan organ itu gagal berfungsi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dzulbaharin berkata, gajah betina itu dilaporkan sudah mati tiga hingga empat dari masa ia ditemui.
"Justeru itu, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 25 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Richarles Edward di talian 089-561890 atau 014-3217050 bagi membantu siasatan," katanya