40 ditahan sertai majlis pengenalan kumpulan kongsi gelap


40 ditahan sertai majlis pengenalan kumpulan kongsi gelap


"Kumpulan (kongsi gelap) itu dipercayai menganjurkan majlis pengenalan dan pendaftaran ahli baharu mereka dengan mengadakannya di restoran mewah tersebut bagi mengaburi serta mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya



Sekumpulan lelaki dipercayai ahli kongsi gelap yang berselindung dengan menggunakan nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sedang mengadakan majlis pengenalan di sebuah restoran mewah di Seberang Jaya terkedu apabila diserbu pihak polis dalam serbuan pada Sabtu lepas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, 40 lelaki berusia lingkungan 22 hingga 56 tahun berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis ditahan selepas pihak polis menyerbu restoran mewah itu pada jam 9.30 malam hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihaknya.


"Kumpulan (kongsi gelap) itu dipercayai menganjurkan majlis pengenalan dan pendaftaran ahli baharu mereka dengan mengadakannya di restoran mewah tersebut bagi mengaburi serta mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook Polis Diraja Malaysia(PDRM) Pulau Pinang, pada Isnin.


Serbuan itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.


Katanya, siasatan awal polis mengesyaki kumpulan kongsi gelap itu juga cuba mengaburi pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik sebuah NGO bagi menghidupkan kembali pengaruh mereka di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.


Rahimi berkata, pemeriksaan yang dijalankan oleh polis juga mendapati, lapan orang daripada semua mereka ditahan itu mempunyai tatu bagi sebuah pertubuhan haram dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan rangkaian kumpulan kongsi gelap tersebut.


Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas 56 telefon bimbit pelbagai jenama dan dua bentuk cincin, seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai lambang sebuah pertubuhan haram.


“Kesemua mereka direman untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 iaitu kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang," katanya. - Bernama



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!