Edisi 7

Bekas banduan samun wanita sedang tunggang motosikal


Bekas banduan samun wanita sedang tunggang motosikal


"Baru sebulan dibebaskan dengan 17 rekod jenayah, bekas banduan bersama temannya menahan dan mengacukan pisau terhadap seorang wanita yang sedang menunggang motosikal secara bersendirian ketika melalui sebuah lorong. "


TUMPAT - Dua lelaki menahan dan mengacukan pisau terhadap seorang wanita yang sedang menunggang motosikal secara bersendirian ketika melalui sebuah lorong di Kampung Ana di sini pada Sabtu lalu.


Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang menyebabkan mangsa berusia 43 tahun kerugian RM7,000 apabila rantai tangannya diambil lelaki berkenaan.


Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud bagaimanapun berkata, seorang daripada dua suspek berjaya ditahan polis pada awal pagi Ahad.


Beliau berkata, suspek terbabit merupakan banduan yang dibebaskan dari penjara pada bulan lalu serta memiliki 17 rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah dan jenayah.


“Dalam kejadian itu, mangsa menunggang motosikal bersendirian, secara tiba-tiba didatangi dua lelaki tidak dikenali yang menunggang sebuah motosikal lain dari arah belakang.


“Suspek bertindak menghalang laluan motosikal mangsa dan pemboncengnya turun menghampiri wanita berkenaan serta mengacukan sebilah pisau.


“Suspek kemudian menarik seutas gelang tangan emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal bersama seorang lagi suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.


Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Chabang Empat di sini.


“Siasatan dijalankan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada sebuah rumah di sekitar lokasi kejadian.


“Suspek berusia 32 tahun ditahan di Wakaf Bharu. Semakan mendapati suspek memiliki 17 rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah serta dadah, manakala ujian saringan yang dijalankan mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamine,” jelas beliau.


Beliau berkata, suspek direman enam hari bermula Ahad untuk siasatan lanjut.


“Polis masih mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata pisau,” ujarnya.


LAZADA 10.10

LAZADA 10.10 Tenaga Sale!

Nikmati potongan harga 60% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!