Pelajar perempuan (7 tahun) maut digilis mini van, Innalillahiwainnailaihirrojiun
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van iaitu (1) Perempuan Melayu berusia 31 tahun yang baru selesai menurunkan penumpang, telah bergerak memandu ke hadapan dan tanpa menyedari telah melanggar salah seorang pelajar perempuan yang juga merupakan penumpang van tersebut. "
KENYATAAN MEDIA KETUA JABATAN SIASATAN DAN PENGUATKUASAAN TRAFIK SELANGOR BERKAITAN VIDEO TULAR KEMALANGAN MAUT MELIBATKAN PELAJAR SEKOLAH
Pada 12/11/2021 telah tular sebuah video yang memaparkan kejadian sebuah m/van melanggar seorang pelajar sekolah.
Kejadian berlaku pada 12/11/2021 sekitar jam 12.10 tengah hari di kawasan taman perumahan Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.
Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van iaitu (1) Perempuan Melayu berusia 31 tahun yang baru selesai menurunkan penumpang, telah bergerak memandu ke hadapan dan tanpa menyedari telah melanggar salah seorang pelajar perempuan yang juga merupakan penumpang van tersebut.
Mangsa pada ketika itu sedang melintas di hadapan van yang dipandu oleh pemandu wanita terbabit. Sebelum kejadian, mangsa telah diambil oleh pemandu van tersebut dari sebuah sekolah berhampiran dan di hantar ke pusat transit sebelum ke Sekolah KAFA.
Ekoran dari kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang pelajar perempuan berusia 7 tahun telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Nilai Medical Centre akibat mengalami kecederaan di bahagian kepala. Mangsa disahkan telah meninggal dunia pada jam 2.30 petang tadi.
Pemandu van sekolah tersebut telah ditangkap untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Supt Azman Bin Shari’at
KJSPT Selangor
Dikeluarkan : 12/11/2021@2200hrs
Sumber: JSPT Selangor