Edisi 7

Warga emas maut dikelar anak saudara

Warga emas maut dikelar anak saudara

"Sejak beberapa hari lalu, lelaki terbabit juga memberitahu mengenai individu yang mahu memukul dan membunuhnya."


IPOH – Seorang wanita warga emas ditemui mati dengan kesan kelar dan tikaman pada leher dipercayai dibunuh anak saudaranya dalam kejadian di Kampung Cina dekat Menglembu, di sini hari ini.

Mangsa, Aw Foong Meng, 73, ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di tepi katil dalam bilik di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat tentang seorang wanita pengsan di lokasi kejadian pada pukul 3.10 petang.

Katanya, polis kemudian ke lokasi tersebut dan mendapati terdapat seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kelar dan tikaman pada leher dengan senjata berupa pisau masih tertusuk di belakang leher wanita itu.

“Susulan itu, kita menahan lelaki berusia 40 tahun yang juga anak saudara mangsa yang tinggal bersamanya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut beliau, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan polis termasuk pemeriksaan rekod perubatan dan kesihatan mental suspek.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dijalankan esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, jiran mangsa, A. Lingam, 37, berkata, suspek tinggal bersama wanita itu sejak beberapa bulan lalu dan dipercayai mengalami masalah mental.

Katanya, sejak beberapa hari lalu, lelaki terbabit juga memberitahu mengenai individu yang mahu memukul dan membunuhnya.

“Suspek tidak pernah kacau orang dan dia hanya diam jika berjumpa. Bagaimana pun, baru-baru ini dia beritahu ada orang datang untuk pukul dan bunuhnya.

“Saya periksa kawasan rumah, tapi tiada orang asing yang masuk ke sini. Saudara mereka maklumkan yang suspek sakit mental dan sudah tiga bulan tidak makan ubat,” katanya.

LAZADA 10.10

LAZADA 10.10 Tenaga Sale!

Nikmati potongan harga 60% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!