Bekas polis bantuan dilepas dan dibebaskan tuduhan rogol


Bekas polis bantuan dilepas dan dibebaskan tuduhan rogol

"Mohamad Abdul Hafiz dituduh merogol remaja perempuan berusia 15 tahun ketika kejadian, di Jalan Taman Perindustrian Labis, Segamat, Johor, diantara pukul 8 hingga 9.30 malam..."


SEGAMAT – Seorang bekas anggota polis bantuan menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Segamat hari ini daripada tuduhan merogol remaja 15 tahun, empat tahun lalu.

Mohamad Abdul Hafiz Abdul Kadir, 31, yang kelihatan tergamam melahirkan rasa lega dan bersyukur dengan keputusan tersebut.

Hakim Norina Zainol Abidin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Perintah itu dibuat bagi tertuduh ketika kes dikemukakan untuk keputusan pada akhir peringkat pendakwaan.

Mohamad Abdul Hafiz dituduh merogol remaja perempuan berusia 15 tahun ketika kejadian, di Jalan Taman Perindustrian Labis, Segamat, Johor, diantara pukul 8 hingga 9.30 malam pada Mac 2017.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Sembilan saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula sejak Julai 2020.

Mahkamah memerintahkan jumlah ikat jamin sebanyak RM10,000 dibayar semula kepada tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam, Mathan Anandaram.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!