Panggilan telefon tidak berjawab rupa-rupanya sudah meninggal dunia
"Panggilan telefon oleh suami terhadap isterinya yang tidak berjawab rupa-rupanya membawa berita sedih apabila wanita itu ditemui meninggal dunia di rumahnya"
LUMUT – Panggilan telefon oleh suami terhadap isterinya yang tidak berjawab rupa-rupanya membawa berita sedih apabila wanita itu ditemui meninggal dunia di rumahnya di Kampung Koh dekat sini pagi tadi.
Difahamkan, mangsa tinggal berasingan dengan suaminya kerana wanita berusia 68 tahun itu mahu menjaga ibunya berusia 80-an yang uzur dan terlantar di atas katil.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Firdaus Mohd. Ziker berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.16 pagi sebelum sepasukan anggota ke tempat kejadian.
Katanya, suami mangsa menghubungi bomba apabila dia yang datang ke rumah itu mendapati isterinya tidak menyahut panggilan setelah dipanggil manakala rumah itu pula berkunci dari dalam.
“Sebelum itu, lelaki tersebut ada menelefon isterinya tetapi tidak dijawab seperti kebiasaan sebelum terus pergi ke rumah itu di Kampung Koh.
“Lelaki itu bimbang kerana isterinya ada mengadu sakit dada semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Firdaus, bomba bertindak mengumpil pintu rumah tersebut dan menemui mangsa terbaring di hadapan pintu bilik air sebelum pemeriksaan oleh petugas kesihatan mengesahkan wanita itu telah meninggal dunia.
“Ibu mangsa pula berada dalam keadaan tidak bermaya dan terbaring di katil di ruang tamu rumah tersebut.
“Mangsa dan ibunya yang uzur kemudian diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut manakala operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 10.30 pagi” ujarnya.