Terperangkap banjir, budak 2 tahun ditemui lemah
"Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui dalam keadaan lemah di sebuah rumah dinaiki banjir"
SHAH ALAM - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui dalam keadaan lemah di sebuah rumah dinaiki banjir di Sri Musa di sini pada Rabu.
Menerusi video berdurasi 27 saat yang dikongsi seorang pengendali Twitter di dalam statusnya memberitahu, mangsa ditemui pasukan perubatan dalam keadaan lemah dalam sebuah rumah bersama beberapa ahli keluarganya.
"Doktor mohon bantuan polis keluarkan mangsa (untuk diberi bantuan segera)," katanya.
Video itu memaparkan seorang anggota polis mendukung mangsa yang dalam keadaan lemah untuk pemeriksaan kesihatan.
Sementara itu, memetik laporan Astro Awani memaklumkan, kanak-kanak itu didapati lemah dan mengalami simptom muntah dipercayai akibat kekurangan air.
Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Klang, Dr Mohd Akmal Rahim berkata, kanak-kanak itu ditemui berada bersama keluarganya di dalam rumah di kawasan yang dinaiki air.
"Kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital (Tengku Ampuan Rahimah) Klang untuk rawatan lanjut," kata laporan itu.