Kereta dipandu terbabas, lelaki berlari 1km terkejut rumah terbakar


Kereta dipandu terbabas, lelaki berlari 1km terkejut rumah terbakar


PASIR PUTEH - Sudahlah kereta terbabas, terpaksa pula berlari sejauh satu kilometer (km). Itu kepayahan yang perlu ditempuh oleh seorang lelaki untuk pulang ke rumah di Kampung Nara di sini pada Rabu selepas mendapat panggilan telefon mengatakan kediamannya terbakar.


Khairul Hakimi Mat Din, 40, menyifatkan apa yang berlaku amat mengejutkan kerana sebelum kejadian dia baru sahaja pulang ke rumah.


"Siapa yang tidak terkejut apabila mendapat tahu rumah, kereta, motosikal, basikal dan semua harta benda lain musnah sekelip mata.


"Sebelum kejadian sekitar jam 1 petang saya ada pulang ke rumah untuk menukar kereta Proton Wira kepada Perodua Myvi dan kemudian kembali semula ke tempat kerja. Tetapi apabila hendak menaiki Myvi saya dapati kunci yang dibawa ialah kunci Wira," katanya.


Menurutnya, disebabkan itu dia melupakan hasratnya untuk menaiki Myvi ke tempat kerja.


Katanya, selang 45 minit kemudian dia menerima panggilan telefon daripada adiknya memberitahu ada kebakaran di rumah.


Khairul Hakimi berkata, bagaimanapun dia bersyukur semasa kejadian tiga anaknya yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun berada di kedai bersama isterinya.


Khairul Hakimi berkata, dia reda kehilangan kereta Myvi yang masih berbaki dua tahun pembayaran serta harta benda lain.


"Buat masa sekarang kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara mara untuk sementara waktu," katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.59 petang.


Beliau berkata, seramai 14 anggota dari Balai Bomba Pasir Puteh dan Ketereh bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadamkan kebakaran dan menyelamat.


"Kejadian tersebut melibatkan kebakaran di bahagian dapur dan stor di belakang rumah.


"Punca dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya.


Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam atas nama Khairul Hakimi Mat Din bernombor 0309-0020-238979.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!