Mayat lelaki bogel dalam tandas


Mayat lelaki bogel dalam tandas

WANGSA MAJU – Seorang lelaki disyaki gelandangan ditemui mati dalam keadaan berbogel di dalam sebuah tandas terbiar di dewan blok D, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Balai Polis Setapak telah menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 10.30 pagi memaklumkan penemuan mayat berkenaan.

“Saksi awam yang menghubungi polis memaklumkan mereka telah menendang pintu tandas tersebut kerana berkunci dari dalam selepas tiada jawapan apabila dipanggil.

“Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa yang berbadan agak kurus ditemui mati dalam keadaan bogel dan terdapat sepasang seluar di tepi mayat tersebut.

“Kita turut menjumpai sekeping Mykad atas nama Hassan Mohd. Daud, 69, beralamat di Rancangan Perumahan Awam 2, Jalan Sultan Iskandar Shah, Kuala Kangsar, Perak,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati tiada unsur kecederaan pada badan mangsa dan pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dipercayai kurang tempoh 24 jam.

“Semakan rekod jenayah berdasarkan Mykad tersebut mendapati tiada sebarang rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Tambah beliau, berdasarkan hebahan penduduk setempat mendapati tiada sesiapa mengenali mangsa dan tandas tersebut juga jarang digunakan kerana tiada bekalan elektrik dan air.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!