Bayi baru lahir ditinggalkan depan rumah


Bayi baru lahir ditinggalkan depan rumah

"Polis mengikut kesan titisan darah dan menemui wanita berusia 26 tahun dalam keadaan lemah di dapur rumah berhampiran kira-kira 8 pagi."

Serian: Bayi perempuan baru dilahirkan ditemui di depan rumah di Kampung Siantan Baru di sini, pagi tadi.


Pemilik rumah, petani berusia 51 tahun menyedari kehadiran bayi itu sebaik mendengar tangisan kuat di luar rumah pada 5.30 pagi.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar, berkata, sebaik menerima laporan, polis bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.


Menurutnya, pemeriksaan polis menemui titisan darah dan gunting berhampiran rumah lokasi bayi itu ditemui.


"Polis mengikut kesan titisan darah dan menemui wanita berusia 26 tahun dalam keadaan lemah di dapur rumah berhampiran kira-kira 8 pagi.


"Polis turut menemui darah dalam bilik di rumah suspek," katanya.


Katanya, suspek dihantar ke Hospital Umum Kuching (HUS) untuk rawatan, manakala bayi perempuan itu dihantar ke Hospital Serian bagi pemeriksaan kesihatan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!