Pengawal keselamatan dipukul kerana parkir
Ampang Jaya: Hanya kerana tidak puas hati mengenai kawasan parkir, seorang pengawal keselamatan cedera akibat dipukul dua lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah bangunan di Pandan Indah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang juga warga Nepal berusia 41 tahun didatangi sebuah motosikal dinaiki dua lelaki sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di bangunan berkenaan pada 2.15 petang.
"Motosikal itu kemudian terus parkir di hadapan pintu bangunan berkenaan dan mangsa tidak membenarkan kenderaan terbabit diparkir di kawasan berkenaan.
"Selepas selesai urusan, kedua-dua lelaki terbabit keluar dan memukul mangsa dengan salah seorang mereka menampar dan menumbuk mangsa di bahagian muka.
"Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mata mangsa bengkak selain hidungnya berdarah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Farouk berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kedua-dua suspek tempatan terbabit yang masing-masing berusia 31 dan 33 tahun.
"Siasatan awal dilakukan mendapati punca kejadian itu membabitkan kawasan parkir memandangkan ada pertengkaran mulut antara pengadu dengan dua lelaki terbabit yang tidak berpuas hati dengan mangsa lalu bertindak menumbuknya.
"Siasatan akan diteruskan selepas permohonan arahan untuk siasatan (Order to Investigation) (OTI)," katanya.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun keseksaan kerana kesalahan mencederakan.
"Polis menasihatkan orang ramai supaya jangan mengambil tindakan secara terburu-buru atau mengikut perasaan jika ada apa-apa kesalahan sebaliknya buat laporan polis supaya tindakan undang-undang boleh diambil," katanya.
Terdahulu, satu video menunjukkan pertengkaran membabitkan beberapa lelaki di hadapan sebuah bangunan di Pandan Indah tular di media sosial, hari ini.