Ibu pukul bayi hingga maut



Ibu pukul bayi hingga maut


"Wanita itu menghantar anak kandungnya untuk mendapatkan rawatan selepas didakwa sesak nafas pada 2.30 pagi, 9 Mac lalu sebelum doktor mengesahkan bayi itu sudah tidak bernafas," katanya


Teluk Intan: Wanita ditahan kerana dipercayai mendera hingga menyebabkan kematian bayi perempuannya berusia setahun 11 bulan di sini, dalam kejadian pada 9 Mac lalu.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, wanita berusia 33 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Teluk Intan pada 5 petang, hari sama.


Beliau berkata, suspek akan dituduh Mahkamah Majistret Teluk Intan, esok mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan setelah mendapat arahan dari Timbalan Pendakwa Raya.


"Sebelum itu, pihaknya menerima laporan kematian mangsa dari seorang doktor bertugas di hospital swasta di Teluk Intan.


"Wanita itu menghantar anak kandungnya untuk mendapatkan rawatan selepas didakwa sesak nafas pada 2.30 pagi, 9 Mac lalu sebelum doktor mengesahkan bayi itu sudah tidak bernafas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Ahmad Adnan berkata, pemeriksaan awal doktor mendapati ada kesan luka di keliling hidung, dagu dan cuping telinga kanan selain luka di belakang telinga kiri serta luka di belakang kepala.


Beliau berkata, selain itu ada kesan luka besar pada lengan kanan dan kesan luka di jari kelingking serta telunjuk tangan kiri selain ada kesan luka koyakan pada celah jari telunjuk dan jari hantu kiri mangsa.


"Selain itu ada kesan gigitan berdekatan bahu lengan kiri, kesan parut sebelah kiri kaki, lebam di bawah lutut kiri, lebam di belikat kanan, dan ada beberapa lebam di seluruh belakang kanak-kanak berkenaan.


"Bedah siasat dilakukan di Bahagian Forensik Hospital Teluk Intan pada 10 Mac lalu mendapati sebab kematian mangsa adalah kecederaan di bahagian dada," katanya.


Ahmad Adnan berkata, punca suspek mendera hingga menyebabkan kematian anak kandungnya itu adalah disebabkan tertekan kerana anaknya sering menangis dan tidak selesa dengan suspek.


Beliau berkata, bayi itu dijaga pengasuh sejak Jun 2020 dan suspek mengambil semula anak ketiga daripada empat beradik itu untuk dijaga pada Jun 2021.


Menurutnya, mangsa dikatakan sentiasa menangis dan tidak selesa dengannya menyebabkan wanita itu yang tidak bekerja sering mendera mangsa.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!