Peniaga tak sempat buka kedai, maut dirempuh kereta


Peniaga tak sempat buka kedai, maut dirempuh kereta

"Dalam kejadian pukul 3.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Farihin Mohd. Lazan, 30, yang juga merupakan bapa kepada dua anak masing-masing berusia sembilan bulan dan empat tahun disahkan meninggal dunia di lokasi."

MELAKA – Seorang peniaga di pasar borong tidak sempat membuka kedai sayurnya selepas maut dalam nahas di Jalan Telok Mas – Alai di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 3.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Farihin Mohd. Lazan, 30, yang juga merupakan bapa kepada dua anak masing-masing berusia sembilan bulan dan empat tahun disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa dirempuh sebuah Proton Wira.

Katanya, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego LC dalam perjalanan dari arah Bukit Tembakau ke Pasar Borong Melaka di Batu Berendam.

“Setiba di lokasi, motosikal mangsa telah dirempuh sebuah Proton Wira yang hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa telah terpelanting dan meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah di kepala serta dada,” katanya.

Tambahnya, kereta terlibat juga terbabas sehingga memasuki kawasan Balai Raya Telok Mas sebelum terbalik.

“Pemandu kereta berusia 33 tahun bagaimanapun hanya mengalami luka-luka di mata dan kaki. Sampel darah pemandu juga telah diambil di Hospital Melaka yang akan dihantar ke Jabatan Kimia Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ujarnya, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk ujian Covid-19 dan disahkan positif.

Katanya, proses bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kluang, Johor dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!