VIDEO - Remaja kemaruk viewers di Tiktok ditahan kerana vandelisma


Remaja tuang cecair pencuci baju ke dalam kolam hiasan pusat beli-belah ditahan polis. Perbuatan mereka itu semata-mata sebagai content untuk raih viewers yang tinggi di Tiktok

Kluang: Kemaruk mahu meraih tontonan tinggi dalam aplikasi TikTok dipercayai mendorong beberapa remaja menuangkan cecair pencuci baju ke dalam kolam hiasan sebuah pusat membeli-belah di sini.

Aksi kumpulan remaja bermotosikal itu mengundang padah selepas pihak pengurusan pusat beli-belah mengesan perbuatan mereka menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, susulan laporan, lapan remaja lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan dengan tiga daripadanya masih bersekolah.

"Kira-kira jam 4 petang semalam, polis mengesan rakaman video tular berdurasi 55 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook (FB) memaparkan tingkah laku penunggang motosikal membuat khianat terhadap harta di pusat beli-belah itu.

"Kejadian dipercayai berlaku pada Ahad lalu jam 5.30 pagi dan susulan rakaman video itu, polis mengenalpasti semua suspek.

"Mereka ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sri Lalang jam 9.30 malam tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian urin terhadap semua suspek mendapati mereka negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap harta.

"Polis mengingatkan perbuatan vandalisme atau membinasakan harta benda awam dan harta benda orang lain boleh diambil tindakan undang-undang.




"Mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang akan diambil tindakan tanpa kompromi," katanya.

Terdahulu, melalui hantaran di FB, Badan Pengurusan Bersama Kluang Parade meminta suspek tampil bertanggungjawab sebelum perkara itu dibawa ke pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!