Kelindan lori didenda RM2,100 mengaku ugut lelaki, hina polis


Kelindan lori didenda RM2,100 mengaku ugut lelaki, hina polis

"Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengugut melalui telefon mahu memotong leher pengadu serta ibu pengadu, selain memaki pegawai polis terbabit yang turut dibuat melalui telefon."


Ipoh: Kelindan lori didenda RM2,100 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan ugutan bunuh serta menghina pegawai polis, Disember lalu.

G Patrick Dass, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menakutkan secara jenayah dengan niat menyebabkan kegentaran terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Tawas Permai 8, Taman Tawas Permai, di sini, kira-kira jam 6.52 petang 19 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa berkelakuan aib dengan mengeluarkan perkataan 'mayiru' kepada pegawai polis berpangkat Inspektor yang sedang menjalankan tugas bertempat di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira jam 8.30 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan ugutan bunuh, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, ia dibaca mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang sabit kesalahan memperuntukkan denda tidak melebihi RM100.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengugut melalui telefon mahu memotong leher pengadu serta ibu pengadu, selain memaki pegawai polis terbabit yang turut dibuat melalui telefon.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam J K Kala.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda bagi pertuduhan pertama, serta penjara 14 hari jika gagal melunaskan denda bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!