Lelaki rogol remaja bawah umur, hantar gambar lucah kepada bapa mangsa


Lelaki rogol remaja bawah umur, hantar gambar lucah kepada bapa mangsa


"Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan tiga sebatan jika sabit kesalahan."



KOTA BHARU - Seorang pemandu jentera berat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan termasuk merogol seorang remaja perempuan dan menyebar gambar porno mangsa kepada bapa gadis itu pada April lalu.


Tertuduh, Muhammad Naziman Rosdi, 20, didakwa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.


Pada pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan tersebut yang ketika itu berusia 15 tahun lima bulan di dalam semak tepi Pantai Kemasin, Bachok, pada jam 3 petang pada 14 Mei tahun lalu.


Bagi tuduhan itu, pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Naziman didakwa mengedar gambar pornografi milik mangsa kepada bapa remaja itu yang berusia 36 tahun di sebuah rumah di Kampung Telok Merbau, Perupok, Bachok pada jam 2.30 petang pada 11 April lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan tiga sebatan jika sabit kesalahan.


Muhammad Naziman turut menghadapi pertuduhan ketika iaitu memiliki video pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbitnya semasa berada di dalam Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok jam 8.30 malam, pada 13 April lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Abu Arsalnaa tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.


Muhammad Naziman dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan ikat jamin diberikan kepadanya.


Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan perlu melaporkan diri di Balai Polis Bachok pada setiap bulan.


Kes ditetapkan untuk sebutan semula 24 Mei depan.


Tertuduh tidak membayar jaminan tersebut.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!