Takut tengok khemah peniaga berterbangan


Takut tengok khemah peniaga berterbangan

"Katanya, ketika itu dia melihat sebahagian peniaga makanan cuba menyelamatkan hasil jualan sambil berpaut pada besi khemah masing-masing untuk mengelak ia terbang."


Pendang: "Ketika itu orang mulai ramai membeli juadah untuk berbuka puasa namun tiba-tiba angin kencang berlaku sehingga menyebabkan peniaga melaung 'Allahuakbar' kerana takut," kata Ahmad Rizal Hakimi, 36.


Menurutnya, dia yang ketika itu sedang membeli juadah berbuka terpaksa berlari ke bangunan berhampiran bazar Ramadan di Pekan Pendang untuk menyelamatkan diri kerana bimbang melihat khemah peniaga berterbangan dibawa angin.


Katanya, ketika itu dia melihat sebahagian peniaga makanan cuba menyelamatkan hasil jualan sambil berpaut pada besi khemah masing-masing untuk mengelak ia terbang.


"Kejadian itu berlaku sekitar jam 4.30 petang dan hanya dalam tempoh 10 hingga 15 minit sebelum hujan berhenti.


"Saya sedih melihat peniaga terpaksa mengemas barangan niaga selepas hujan reda memandangkan gerai di bazar Ramadan itu baru dibuka sekitar jam 3.30 petang," katanya ketika dihubungi hari ini.


Ahmad Rizal berkata, ada peniaga yang berjaya menyelamatkan hasil jualan mereka daripada rosak ada juga yang terpaksa membuang makanan kerana tidak boleh dijual akibat basah.


Katanya, kejadian itu membabitkan antara lapan atau sembilan khemah peniaga.


"Kejadian ribut petang tadi amat menakutkan dan semua ini ujian di ketika bulan Ramadan," katanya. Peniaga air balang yang mahu dikenali sebagai Khusairi, 35, berkata, dia cuba menyelamatkan peralatan berniaga di gerainya ketika angin kencang berlaku.


Katanya, air hujan yang mencurah turut menyebabkan air bungkus yang dijualnya ada terbalik dan tumpah.


"Apapun saya kena reda kerana semua ini ujian Allah walaupun saya tak sempat menjual air bungkus hari ini," katanya.


Kejadian itu sempat dirakam peniaga dan tular di laman sosial menunjukkan peniaga masing-masing cuba menyelamatkan khemah daripada diterbangkan angin.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!