Tiada tanda kanak-kanak perempuan empat tahun diliwat, dirogol bapa


Tiada tanda kanak-kanak perempuan empat tahun diliwat, dirogol bapa

"Polis tidak menemui sebarang tanda menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun telah diliwat atau dirogol oleh bapanya di sebuah rumah di sini."

Laporan susulan - ARAU - Polis tidak menemui sebarang tanda menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun telah diliwat atau dirogol oleh bapanya di sebuah rumah di sini.


Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, laporan perubatan yang diperolehi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kanak-kanak terbabit diliwat atau dirogol oleh bapanya yang merupakan seorang penganggur.


Katanya, laporan terbabit telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk diteliti bagi mendapatkan arahan selanjutnya.


"Suspek masih menjalani perintah reman sehingga 18 April ini. Jadi kita masih menanti keputusan daripada Timbalan Pendakwa Raya sama ada suspek dibebaskan atau diteruskan dengan pertuduhan.


"Kalau Timbalan Pendakwa Raya bersetuju kes ini tiada tindakan lanjut, suspek akan dibebaskan," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.


Pada Rabu, polis menahan seorang penganggur kerana dipercayai melakukan seks luar tabii terhadap anak perempuannya yang berusia empat tahun di sebuah rumah di Arau.


Suspek berusia 51 tahun itu ditahan selepas polis mendapat maklumat mengenai kejadian daripada nenek mangsa yang tinggal bersebelahan rumah lelaki berkenaan.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!