VIDEO - Geng motor rompak RM 50...


Polis buru geng motosikal pukul pembantu peribadi, berjaya merompak RM 50

"Sekumpulan lelaki bermotosikal yang tular memukul dan menyamun pembantu peribadi"


SHAH ALAM – Sekumpulan lelaki bermotosikal yang tular memukul dan menyamun pembantu peribadi di jalan raya persimpangan lampu isyarat Persiaran Setia Dagang U13 Setia Alam, kini diburu polis.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi Ahad lalu ketika mangsa merupakan seorang lelaki menunggang motosikal seorang diri di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mangsa telah mengalami kecederaan lebam di mata dan pipi dan luka pada kedua-dua belah tangan kerana dipukul termasuk menggunakan topi keledar.

“Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kerugian apabila telefon bimbit jenis Huawei Nova 4 dan dompet yang mengandungi dokumen penting serta wang RM50 telah disamun suspek.

“Selain itu, motosikal mangsa turut dibawa lari oleh kumpulan suspek yang tidak dikenali tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, insiden yang menimpa mangsa telah dilaporkan isterinya sejurus kejadian berkenaan.

Justeru, Mohd. Iqbal menjelaskan pihaknya kini dalam usaha mengesan kumpulan suspek tersebut dan punca kejadian masih dalam siasatan.




“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Saiedayu di talian 03-5520 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.”

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Terdahulu insiden itu tular menerusi video berdurasi satu minit 41 saat memaparkan mangsa dipukul berulang kali oleh kumpulan suspek.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!