VIDEO - RM26,000 disimpan bawah katil hangus terbakar


RM26,000 disimpan bawah katil hangus terbakar

"Mangsa, Nur Nisha Farahin Mohd Yuzairi, 29, berkata, wang tunai berkenaan hasil jualan runcitnya secara dalam talian dan disimpan di bawah katil."


Tumpat: Wang tunai RM26,000 milik seorang wanita hangus dalam kebakaran enam buah rumah di Kampung Dalam Rhu, di sini, tengah hari tadi.

Kebakaran kira-kira jam 1.40 tengah hari itu menyebabkan empat keluarga tinggal sehelai sepinggang, manakala dua kediaman lagi terbakar 90 dan 10 peratus.

Mangsa, Nur Nisha Farahin Mohd Yuzairi, 29, berkata, wang tunai berkenaan hasil jualan runcitnya secara dalam talian dan disimpan di bawah katil.

"Saya baru keluarkan duit itu semalam dan ingin memasukkannya ke dalam akaun Tabung Haji esok.

"Saya menerima panggilan daripada jiran memaklumkan mengenai kebakaran ketika berada di Kota Bharu, apabila pulang rumah sudah hangus dan saya hanya mampu mengenangkan duit yang tersimpan di bawah katil," katanya.

Sementara ibunya, Mahani Abdul Rashid, 52, berkata, ketika kejadian dia berada di halaman rumah untuk menyiram bunga sebelum terdengar bunyi letupan kecil dari bahagian dapur.

"Saya tidak mengendahkannya tapi selepas itu kedengaran sekali lagi letupan yang sama sebelum saya bergegas ke dapur dan alangkah terkejutnya apabila melihat api di dinding.

"Saya terus menjerit memanggil jiran memberitahu kejadian itu dan dalam masa yang sama mengambil saluran paip getah untuk cuba memadamkan api namun gagal disebabkan ia marak dengan cepat," katanya.

Dia yang masih trauma berkata, tiada apa yang dapat diselamatkan kecuali sebuah motosikal yang di parkir di halaman rumah.

Sementara itu, Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Bomba Suhaimi Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.43 tengah hari dan seramai 21 pegawai dan anggota daripada tiga balai di Tumpat bergegas ke lokasi kejadian.




Suhaimi berkata, sebaik tiba, api sedang marak dan kejadian itu membabitkan enam unit rumah jenis separuh kekal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Api marak dengan cepat disebabkan cuaca agak panas dan berangin namun dengan tindakan pantas anggota berjaya menghalang api daripada merebak ke rumah yang lain memandangkan kedudukan agak rapat," katanya.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!