Lelaki mengamuk dengan parang, tumbuk isteri ditahan
MIRI: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mengamuk menggunakan parang dan menumbuk isterinya dalam satu kejadian di sebuah rumah panjang di Sungai Saeh Merah, Niah pada 4 Mei lalu.
Dalam kejadian di sebuah bilik pada kira-kira jam 6 petang itu, lelaki tempatan berusia 32 tahun terbabit dipercayai tiba-tiba mengamuk sambil memegang parang dan menumbuk isterinya.
Ketua Polis Daerah (KPD) Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, sehubungan itu ibu suspek membuat laporan di Balai Polis Batu Niah untuk tindakan lanjut.
Suspek berjaya ditahan di rumah panjang tersebut pada kira-kira jam 11.13 malam hari sama dan kini direman selama empat hari sehingga 9 Mei bagi membantu siasatan.