Mayat lelaki diikat kaki, tangan dalam guni ditemukan terapung
ANGGOTA polis mengusung mayat seorang lelaki yang ditemukan di dalam guni dengan kaki dan tangan diikat di pengkalan ikan bilis di Kampung Sungai Batu, Sungai Petani, hari ini.
SUNGAI PETANI: Mayat seorang lelaki ditemukan dengan kaki dan tangan diikat di dalam guni yang terapung di pengkalan ikan bilis di Kampung Sungai Batu di sini, hari ini.
Mayat lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu ditemukan oleh sekumpulan nelayan selepas terhidu bau busuk daripada guni yang tersangkut dipancang kayu penambat perahu pada pukul 9.30 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. Suresh Kumar berkata, pihaknya ke lokasi tersebut selepas dimaklumkan penemuan mayat seorang lelaki oleh nelayan berkenaan.
“Polis kemudian membuka guni itu dan mendapati mayat seorang lelaki yang telah mengelupas kulitnya dalam keadaan kaki dan tangan diikat. Mangsa masih memakai baju T tetapi tidak berseluar dipercayai dihanyutkan arus sebelum tersangkut di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Menurut Suresh, siasatan awal mendapati mangsa tanpa dokumen pengenalan diri itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dimasukkan ke dalam guni dan dibuang ke sungai itu.
“Berdasarkan keadaan mayat yang menggelupas, kita percaya mangsa terendam air dalam tempoh lebih 48 jam. Polis juga tidak menemukan sebarang kesan kecederaan pada mangsa mangsa dan sebab kematian hanya akan diketahui selepas bedah siasat dijalankan,” katanya.
Beliau memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.