Budak 12 tahun rompak stesen minyak


Budak 12 tahun rompak stesen minyak

Kamera pengawasan stesen minyak tersebut merakam kejadian rompakan bersenjata itu. Menerusi rakaman video berkenaan, juruwang didengari berkata: “Kamu serius?”, ketika melihat pistol diacukan ke arahnya.


HARTFORD, MICHIGAN – Kamera pengawasan merakam tindakan seorang budak lelaki berusia 12 tahun merompak sebuah stesen minyak di Amerika Syarikat dan melepaskan tembakan menggunakan pistol milik datuknya, lapor laman berita Wion News semalam.

Polis menyatakan, budak lelaki itu dianggap membahayakan keselamatan awam dan ditangkap, seterusnya ditahan di Pusat Juvana Daerah Allegan.

Dia masuk ke dalam sebuah stesen minyak di bandar Hartford, Michigan kelmarin dan beratur bersama pelanggan lain sebelum mengeluarkan sepucuk pistol dari beg hitam yang dibawanya lalu diacukan ke arah juruwang.

Kamera pengawasan stesen minyak tersebut merakam kejadian rompakan bersenjata itu. Menerusi rakaman video berkenaan, juruwang didengari berkata: “Kamu serius?”, ketika melihat pistol diacukan ke arahnya.

Beberapa saat kemudian, budak lelaki itu terus melepaskan tembakan ke arah siling dan juruwang dilihat menyerahkan beg berisi wang kepadanya.

Polis Hartford tiba dalam masa 90 saat setelah panggilan kecemasan dibuat sejurus selepas budak lelaki itu meninggalkan lokasi kejadian.

Mereka kemudian menemui suspek tidak jauh dari stesen minyak berkenaan di belakang sebuah bangunan, kata Ketua Polis Hartford, Tressa Beltran.

Polis mendapati budak lelaki itu mencuri pistol daripada peti besi milik datuknya yang mendakwa bahawa dia tidak sedar bahawa cucunya boleh mengakses peti tersebut.

Budak lelaki bawah umur itu kemudian didakwa dengan enam pertuduhan jenayah termasuk rompakan bersenjata, melepaskan tembakan dan menyerang menggunakan senjata berbahaya. – Agensi


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!