Budak 4 tahun kritikal tertelan dadah ditidurkan


Budak 4 tahun kritikal tertelan dadah ditidurkan

"Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang kritikal selepas dipercayai termakan dadah jenis methamphetamine kini ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini selepas keadaannya semakin lemah."



KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang kritikal selepas dipercayai termakan dadah jenis methamphetamine kini ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini selepas keadaannya semakin lemah.

Ibu mangsa yang berusia 36 tahun berkata, dia bimbang apabila anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) masalah pertuturan selain baru boleh berjalan itu tiada sebarang perkembangan positif sejak dimasukkan ke HRPZ II kelmarin.

Menurutnya, dia bertemu dengan anak bongsu daripada tiga beradik itu selama setengah jam malam tadi dan sempat menyentuh dan mengusap badan kanak-kanak tersebut yang masih tidak sedarkan diri.

“Doktor memaklumkan anak saya perlu ditidurkan akibat kesan dadah jenis methamphetamine yang membuatkan dirinya lemah.

“Saya tidak sanggup melihat keadaannya ketika ini. Meskipun tidak sedarkan diri, saya tetap memanggilnya dan berbisik supaya dia dapat membuka mata,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut wanita itu, dia sentiasa berdoa agar anaknya sedarkan diri meskipun tidak boleh berjalan seperti biasa asalkan dia dapat melihat kembali bertentang mata kanak-kanak tersebut.

Kosmo! hari ini melaporkan, seorang budak lelaki berusia empat tahun kritikal selepas dipercayai termakan dadah jenis methamphetamine dalam kejadian di Kuala Krai dekat sini kelmarin.

Kejadian disedari oleh ibu mangsa selepas mendapati anaknya berada dalam keadaan lemah dengan muka kebiru-biruan sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan pada pukul 5 pagi.

Kanak-kanak itu yang masih kritikal kemudian dipindahkan HRPZ II di sini untuk rawatan lanjut.

Sebelum itu, ibunya juga tidak menyangka keadaan anaknya itu berubah selepas dihantar pulang oleh sepupunya kira-kira pukul 5 petang Sabtu lalu selepas tiga jam keluar bersama lelaki itu.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!