Lima termasuk ASP, koperal didakwa seludup 119 Myanmar



Lima termasuk ASP, koperal didakwa seludup 119 Myanmar


Tiga lagi tertuduh yang didakwa berasingan ialah anggota polis bantuan sebuah agensi kerajaan, Anas Hafizin Ahmad, 37, dan Muhamad Aslam Osman, 29, serta Ibrahim Dahamid, 38, yang masing-masing bekerja sendiri dan nelayan.


Seorang pegawai kanan polis dan anggota berpangkat koperal E6 Cawangan Khas antara lima individu didakwa di Mahkamah Sesyen pada Isnin kerana menyeludup 119 migran pada Mei lalu.



Tertuduh, Asisten Superintenden Mohamad Faizal Ahmad Zaki, 37, dan Koperal Mohd Razin Razali, 32, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.


Tiga lagi tertuduh yang didakwa berasingan ialah anggota polis bantuan sebuah agensi kerajaan, Anas Hafizin Ahmad, 37, dan Muhamad Aslam Osman, 29, serta Ibrahim Dahamid, 38, yang masing-masing bekerja sendiri dan nelayan.



Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa menyeludup 119 migran warga Myanmar di kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika dengan daratan Kuala Kedah, Kota Setar di sini kira-kira jam 9.30 malam, 24 Mei lalu.


Mohamad Faizal dan Mohd Razin dituduh mengikut Seksyen 26B(d) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebat.


Tiga lagi tertuduh yang berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 26A akta sama boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya.


Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Zahruddin Mohammed Isa dan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syaliati Mohd Sobri serta Nur Syifa Mohd Hamzah.


Mohd Razin diwakili peguam G Ravi Shankar manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam.


Tiada jaminan ditawarkan bagi kesemua tertuduh dan mahkamah menetapkan 4 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Pada 24 Mei lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan dinaiki empat warga tempatan disyaki tekong dan 119 warga Myanmar di perairan Kuala Kedah.


Polis juga masih lagi meneruskan siasatan bagi mengesan, menangkap dan membawa saki baki ahli kumpulan ini ke muka pengadilan.




Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!