Polis trafik nafi terima suapan RM16,800


Polis trafik nafi terima suapan RM16,800

"Mengikut kesemua enam pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM16,800 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori milik sebuah syarikat pengangkutan"


MELAKA – Seorang polis trafik berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah bernilai RM16,800 sejak enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hanif Mohamad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan di Kompleks Mahkamah Melaka hari ini.


Mengikut kesemua enam pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM16,800 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori milik sebuah syarikat pengangkutan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perbuatan itu dilakukan menerusi bayaran secara online melalui akaun Maybank milik syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise antara Januari 2016 hingga Februari tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat terdahulu mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam, Ishak Mohd Kari bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh perlu empat anak, isteri dan ibu yang sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 beserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka.

Kes akan disebut semula 22 Ogos ini untuk serahan dokumen. 


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!