Sistem ranking sekolah berat sebelah

PIBGN desak KPM supaya menarik semula sistem ranking sekolah yang dijadikan pengukur prestasi.

“Kita banyak fokus sekolah yang ranking tinggi. Ini sedikit sebanyak mengganggu emosi murid apabila sekolah mereka dibanding-bandingkan. Segan nak berdaya saing, ada keburukan di situ,” jelasnya.

SHAH ALAM - Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya menarik semula sistem ranking sekolah yang dijadikan pengukur prestasi.

Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, sistem tersebut dikhuatiri boleh merosak dan menghancurkan mutu pembelajaran negara.

Beliau berkata, kaedah penilaian sekolah termasuk keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah berdasarkan kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

"Penilaian dibuat di sekolah masing-masing, tiada pemeriksa luar. Guru sekolah sendiri yang menanda kertas peperiksaan.

“Sebab itu ia mempunyai beberapa kelemahan. Penilaian ini ada kemungkinan berat sebelah kerana semua guru mengejar untuk mencapai gred yang tinggi bagi subjek mereka. Kita juga risau ada pelajar yang mendapat markah tidak sepatutnya mereka peroleh.

“Memandangkan terdapat ketidakadilan terhadap guru untuk meningkatkan gred masing-masing, sudah tentu pencapaian di satu sekolah dengan sekolah lain adalah berbeza. Jadi, tiada cara yang sah untuk menilai taraf sesebuah sekolah,” jelasnya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menggesa KPM menghentikan sistem penilaian berdasarkan kedudukan ranking sebagai pengukur prestasi antara sekolah.

Menurut Noor Azlan, sistem tersebut merupakan satu kesalahan besar, sebaliknya KPM perlu fokus dalam tugas mendidik pelajar.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, sistem ranking tersebut menyebabkan pelajar lebih tertekan disebabkan guru-guru mendesak supaya mereka mendapatkan gred terbaik.

Beliau bagaimanapun mencadangkan kepada KPM supaya mewujudkan satu badan khas untuk memantau sekolah sekiranya mahu melaksanakan sistem ranking tersebut.

“Badan khas tersebut perlulah diterima secara keseluruhan negara tanpa rasa was-was. Kalau memakai sistem PBS, terdapat was-was integritinya, kemudian memberi kesan kepada mutu pendidikan.

“Saya menyokong penuh saranan supaya sistem ranking ini dimansuhkan, melainkan sistem pentaksiran itu diteliti semula, dikemas kini serta dinaik taraf.

"Ia supaya mempunyai ciri-ciri yang dapat diperbandingkan dengan saksama dan lebih adil,” ujar beliau.

KPI SEKOLAH TIDAK BOLEH LANGKAU KEMAMPUAN GURU, MURID

Sementara itu, pihak sekolah tidak boleh meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang melangkaui kemampuan sehingga membebankan pendidik dan murid.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, setiap pengurusan sekolah perlu mempunyai KPI iaitu matlamat yang ingin dicapai, bagaimanapun mestilah selaras dan rasional dengan keadaan sekolah.


“Maksudnya, rasional berasaskan kemampuan dan latar belakang sosial murid, persekitaran, lokasi serta kemudahan sedia ada.


“Penentuan KPI itu sendiri sebenarnya perlu bergantung pada sekolah kerana kalau terdapat 10,000 sekolah pun, masing-masing ada KPI sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.


Sementara itu, mengenai isu ranking sekolah, Aminuddin menafikan wujud sistem ranking antara sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


Beliau menjelaskan, KPM tidak pernah membuat sistem kedudukan secara rasmi kerana adalah menjadi kesalahan sekiranya terdapat perbandingan antara sekolah.


Malah, katanya, ia juga merupakan dasar kementerian yang sudah jelas.



JANGAN BUAT PERBANDINGAN


Dalam pada itu, rata-rata ibu bapa juga tidak bersetuju dengan pelaksanaan sistem ranking sekolah berdasarkan penilaian peperiksaan awam.


Peniaga makanan, Zainurulasikin Mohd Yasin, 44, berkata, kecenderungan memperoleh gred dan ranking sekolah akan mengakibatkan tekanan berlebihan kepada warga pendidik dan murid.

 “Sepatutnya tidak perlu ada ranking antara sekolah yang boleh menjurus ke arah budaya membanding-bandingkan.

“Kita bimbang jika sekolah terlalu nak kejar ranking, guru-guru dan murid akan lebih tertekan dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti berterusan yang melebihi kemampuan mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bagi penolong pengurus kewangan, Fadil Mohamed Nor, 46, bersetuju agar sistem penilaian berdasarkan kedudukan ranking dimansuhkan.

“Tidak dinafikan para murid juga akan berdepan tekanan mental gara-gara perlu bersaing dengan sekolah lain untuk mencapai tahap pelajaran cemerlang.

“Lagipun, tahap kecemerlangan pendidikan hari ini tidak hanya tertumpu pada berapa banyak A yang diperoleh dalam mata pelajaran, tetapi juga merangkumi aspek kokurikulum,” ujarnya.

Sementara itu, Emaliza Mohd Tahir, 37, berkata, ranking sekolah secara tidak langsung menyebabkan mereka yang berada di sekolah ranking rendah berasa kurang yakin untuk bersaing.


“Bagaimana dengan sekolah yang ranking rendah? Mereka tidak diberi tumpuan untuk menjadikan pendidikan sekolah mereka lebih bagus.


“Kita banyak fokus sekolah yang ranking tinggi. Ini sedikit sebanyak mengganggu emosi murid apabila sekolah mereka dibanding-bandingkan. Segan nak berdaya saing, ada keburukan di situ,” jelasnya.


Suri rumah itu bagaimanapun mengakui sistem berdasarkan kedudukan itu berupaya menaikkan semangat bersaing dalam kalangan murid untuk memperoleh tempat di sekolah berkedudukan tinggi.


“Memang kita nak galakkan anak-anak mendapat pendidikan di sekolah yang bagus, tetapi jangan pula memandang rendah sekolah yang tidak mendapat ranking tinggi,” katanya.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!