Ibu dakwa pusat terapi dera anak istimewa
“Apabila bertanyakan kepada guru di pusat terapi mengenai kesan itu, jawabnya ia disebabkan aktiviti di pusat berkenaan. Pada awalnya saya mempercayai kata-kata mereka sehinggalah kesan kecederaan itu semakin teruk seperti nampak kesan penampar di pipi,” katanya
JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah sedih apabila anak istimewanya yang dihantar menjalani terapi menjadi mangsa dera di sebuah pusat terapi berbayar di sebuah universiti awam di Skudai, dekat sini sejak awal tahun ini.
Nik Huzaiwati Husin, 33, mendakwa, penderaan itu bukan sahaja mendatangkan kesakitan fizikal kepada anaknya yang berusia enam tahun malah turut mendera mentalnya.
“Kejadian itu menyebabkan anak saya menjadi trauma, hampir setiap malam dia terbangun kira-kira pukul 1 pagi dan berjaga hingga 4.30 pagi.
“Adakalanya dia menangis seorang diri tanpa tahu apa puncanya. Sedang kami berusaha sedaya-upaya memberikan rawatan terbaik buatnya,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Nik Huzaiwati pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa kerana sudah menghantar anak sulungnya yang didiagnosis mild autisme itu di situ sejak November 2019.
Dia yang tinggal di Pulai Sri Perdana berkata, apabila kesan lebam dan cedera di badan semakin ketara awal tahun ini, keluarganya mula merasa ada sesuatu yang tidak kena.
“Apabila bertanyakan kepada guru di pusat terapi mengenai kesan itu, jawabnya ia disebabkan aktiviti di pusat berkenaan. Pada awalnya saya mempercayai kata-kata mereka sehinggalah kesan kecederaan itu semakin teruk seperti nampak kesan penampar di pipi,” katanya.
Insiden 7 Julai lalu menyebabkan ibu kepada dua anak itu hilang pertimbangan apabila melihat kesan lebam di bahu kiri serta kesan cubitan pada dada anaknya itu.
Dia bersama suami membawa anaknya itu ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai pada keesokan hari bagi mendapatkan pandangan pakar.
“Doktor mengesahkan saya ada kesan dera sebelum saya membuat laporan di Balai Polis Kangkar Pulai pada hari sama,” katanya.