VIDEO - 'Kami kenal anak kami'


'Kami kenal anak kami'

"Kami kenal hati budi anak kami macam mana. Orang kecam macam-macam depa (mereka) tak fikir perasaan kami yang baru hilang anak," luah bapa mangsa

Georgetown: "Kami kenal hati budi anak kami macam mana. Orang kecam macam-macam depa (mereka) tak fikir perasaan kami yang baru hilang anak," luah Shahiril Rohaiza Ramli, 46.

Wanita itu adalah ibu kepada seorang daripada mangsa kemalangan maut di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, hari ini.

Shahiril Rohaiza berkata, anaknya, Muhamad Eizreel Muhamad, 25, yang berkahwin pada usia muda mempunyai dua anak berusia lapan dan empat tahun serta bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal di Bukit Gedung, Bayan Baru dan difahamkan isterinya kini sedang hamil anak ketiga mereka.

"Arwah anak sulung daripada dua beradik memang minat dengan motosikal, daripada rangka, dia boleh bina jadi sebuah motosikal.

"Tetapi dia anak yang baik, bertanggungjawab dan ambil berat mengenai keluarga.

"Saya ada nasihat dia jangan bawa motosikal laju. Saya juga kenal kawan-kawannya. Mereka anak yang baik serta hormat orang tua," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.

Shahiril Rohaiza berkata, sekitar jam 6 petang semalam anaknya ada singgah di rumah mereka di Kampung Tersusun, Sungai Ara dan berbual dengan adiknya.

"Tetapi saya tiada di rumah kerana bekerja sebagai pembantu klinik. Dia selalu sibuk dengan kerjanya tetapi selalu singgah ke rumah keluarga.

"Kali terakhir kami bersembang lama semasa Aidiladha lalu," katanya.

Seorang lagi ibu kepada mangsa kemalangan, Mashitah Md Isa, 44, berkata, dia tidak menduga akan kehilangan seorang lagi anak iaitu Mohd Shazwan Hakim Mohd Abdul Sani 22, selepas anak ketiganya, Shazril Haikal, 20, terkorban dalam kemalangan jalan raya di Kedah, Mac lalu.

Suri rumah itu berkata, anak sulung daripada empat beradik itu mempunyai saudara kembar iaitu Mohd Shazwan Hafiz yang turut terbabit dalam kemalangan awal itu.

Katanya, Mohd Shazwan Hafiz masih menerima rawatan di HPP serta keadaannya kini stabil.

"Anak kembar kedua saya naik motosikal berasingan dengan abangnya. Kami sekeluarga baru bercuti bersama-sama di Cameron Highlands Selasa lalu dan arwah beli buah tangan untuk semua anak buahnya termasuk bantal peluk Upin Ipin kerana mereka pun adik beradik kembar.

"Arwah anak saya rapat dengan keluarga. Kalau dia berjalan ke mana-mana mesti ada sahaja barang yang akan dibawa balik untuk semua orang.

"Dia juga sudah bertunang kira-kira lima bulan lalu," katanya menambah anaknya akan dikebumikan di Batu Maung dekat sini.

Dalam pada itu, abang kepada seorang lagi mangsa yang maut, Ahmad Najwan Ikhwan Ahmad Nazrul, 20, berkata, baru semalam adiknya, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, ada berpesan kepada rakan-rakannya untuk mahu disemadikan di Balik Pulau berdekatan kubur arwah datuk mereka, jika dia meninggal dunia.

"Saya dapat panggilan pada 6 pagi. Mula-mula saya tak angkat. Selepas itu saya dapat tahu adik saya sudah tiada.

"Saya teringat baru-baru ini dia ada cerita yang dia bermimpi jumpa kawan-kawannya yang sudah meninggal dunia.

"Dia juga ada pesan kalau dia meninggal dunia, dia mahu dikebumikan di Balik Pulau sebab dekat kubur arwah datuk.

Katanya, kalau ada yang ingin melawat kubur datuk senang ziarah dia sekali.

Terdahulu, tiga maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu kira-kira jam 4.40 pagi.




Mangsa yang terkorban ialah Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, dan Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22.



Baca juga : Cara Buat Duit Dengan Shopee Affiliate, Jimat Tanpa Modal


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Shopee Affiliates

Belajar Buat Duit Shopee Affiliates edisi lengkap

RM 9.90 Sahaja

(136k Terjual)