Suspek curi kenderaan dipukul orang awam
"Kita inginkan ingatkan orang awam agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang," - polis
KUCHING: Polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap rakaman video seorang lelaki disyaki suspek kes curi kenderaan dipukul orang awam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, lelaki yang dipukul dalam video berdurasi dua minit 51 saat itu telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut atas dakwaan mencuri kenderaan.
Bagaimanapun katanya, siasatan polis juga dijalankan ke atas insiden suspek terbabit yang turut dipukul orang awam.
"Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk kejadian suspek dipukul orang awam.
"Kita inginkan ingatkan orang awam agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada 11 Julai lalu.
"Kejadian melibatkan seorang suspek yang telah ditangkap dan dipukul orang awam kerana disyaki suspek kes curi kenderaan.
"Polis mengesahkan suspek telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.
Sehubungan itu, Ahsmon memohon kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang dikhuatiri menganggu siasatan polis.