Peniaga hairan, emas tak laku walau harga murah
“Sambutan masih hambar hingga ada segelintir pengusaha emas di negeri ini yang sanggup menurunkan harga kepada RM235 segram,” katanya
PETALING JAYA – Kejatuhan harga emas sehingga RM242 segram ketika ini tidak mampu menarik pelanggan ke kedai emas, malah bilangan pembeli juga berkurangan sejak beberapa bulan lalu.
Keadaan itu berlaku disebabkan sikap orang ramai yang menunggu sehingga harga logam tersebut terus menurun selain berjimat cermat dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi pada tahun hadapan.
Di Kuala Terengganu, tinjauan di Pasar Besar Kedai Payang di sini semalam mendapati, lebih 20 pengusaha kedai emas termenung menanti pelanggan.
Peniaga emas, Mohd. Ashri Udin berkata, sambutan emas semakin suram sejak beberapa bulan lalu walaupun harganya jatuh serendah RM240 segram.
“Jika diikutkan harga semasa RM252 segram, tetapi kami berpakat menurunkan harga kepada RM240 segram untuk menarik pelanggan.
“Sambutan masih hambar hingga ada segelintir pengusaha emas di negeri ini yang sanggup menurunkan harga kepada RM235 segram,” katanya ketika ditemui semalam.
Mohd. Ashri memberitahu, ramai pelanggan yang mengunjungi kedai emas untuk bertanya harga atau menjual semula barangan kemas masing-masing.
Beliau percaya kemerosotan itu berpunca daripada kuasa pembeli terutama penduduk setempat yang menurun sejak akhir-akhir ini.
“Saya amat berharap pengunjung luar yang datang ke negeri ini pada musim cuti sekolah ini membeli emas kami,” katanya.
Seorang lagi pengusaha kedai emas, Mohamed Abu Bakar Abdul Hamid menjangkakan harga emas akan terus merudum kepada RM236 segram menjelang hujung bulan ini.
“Mungkin ada (pelanggan) yang tunggu harga emas jatuh lagi. Kita tidak tahu apa akan terjadi tahun depan kerana harga emas berubah-ubah,” katanya.
Di Bangi, Selangor, seorang pekerja kedai emas, Yusmira, 25, berkata, jualan emas di beberapa cawangannya turut mengalami pengurangan hampir 50 peratus sejak beberapa bulan lalu.
“Mungkin orang simpan duit dan tunggu beli emas pada akhir tahun. Biasanya kedai emas akan buat promosi pada akhir tahun begitu juga premis kami.
“Apabila tiba musim promosi dan akhir tahun biasanya perniagaan emas kembali rancak, mungkin juga ada yang buat simpanan atau tukar duit ‘bonus’ dengan emas,” katanya.
Yusmira memberitahu, ketika ini, harga emas di kedainya adalah RM255 segram.