MySejahtera kembali berguna kepada rakyat


MySejahtera kembali berguna kepada rakyat

"Pelaporan dan pemantauan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala akan menggunakan platform MySejahtera secara keseluruhan bermula tahun ini."

KUALA LUMPUR - Pelaporan dan pemantauan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala akan menggunakan platform MySejahtera secara keseluruhan bermula tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan laporan kendiri Home Assessment Tool (HAT), notifikasi peringatan untuk menjawab HAT, notifikasi individu yang melaporkan tanda amaran serta notifikasi kepada individu yang layak mendapat rawatan ubat antiviral Paxlovid.

Beliau berkata, ini susulan penamatan perkhidmatan Automated Voice Recording (Robocall) untuk kumpulan individu yang belum menjawab soalan HAT dalam aplikasi MySejahtera serta operasi talian Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC Hotline) dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Helpline Kebangsaan sejak 2020 hingga 2022.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan semua individu terutama mereka yang disahkan positif untuk mengaktifkan fungsi notifikasi aplikasi MySejahtera dalam telefon pintar masing-masing bagi memastikan mekanisme pemantauan kendiri ini berfungsi dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pemantauan pesakit Covid-19 secara maya akan diteruskan oleh pasukan petugas di CAC dan Fever Centre Klinik Kesihatan, selain CPRC di peringkat negeri akan terus bertanggungjawab memantau situasi Covid-19 di negeri masing-masing.

Beliau berkata, pemberian Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan Perintah Pelepasan (RO) secara digital juga diteruskan seperti biasa menerusi aplikasi MySejahtera.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, bilangan kes harian baharu Covid-19 pada Minggu Epidemiologi ke-52 (ME52/2022) iaitu 25 hingga 31 Disember lepas merekodkan penurunan sebanyak 36.1 peratus dengan 3,767 kes berbanding 5,894 kes pada ME51/2022.

Beliau berkata, bilangan kes tempatan menunjukkan penurunan 36.5 peratus iaitu daripada 5,880 kes kepada 3,735 kes, manakala bilangan kes import meningkat daripada 14 kes kepada 32 kes atau peningkatan sebanyak 129.6 peratus.

Dr Noor Hisham berkata, bilangan kes kematian turut berkurangan sebanyak 29 peratus iaitu 22 kes pada minggu itu berbanding 31 kes pada minggu sebelumnya.

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME52/2022 menurun sebanyak 14.7 peratus iaitu 14,580 kes kepada 12,433 kes,” katanya dan menambah purata nilai kadar kebolehjangkitan (RT) pada minggu berkenaan adalah 0.79. - Bernama

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!






Shopee Affiliates

Belajar Buat Duit Shopee Affiliates edisi lengkap

RM 9.90 Sahaja

(136k Terjual)