Tegur buat bising, bapa maut dirempuh pemandu mabuk


Tegur buat bising, bapa maut dirempuh pemandu mabuk

Melaka: Hanya kerana menegur supaya tidak membuat bising, pesara maut akibat dilanggar kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk, dalam kejadian di Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga, di sini, awal pagi kelmarin.

Mangsa berusia 57 tahun itu disahkan meninggal dunia 2.04 petang semalam selepas kira-kira 11 jam bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, akibat pendarahan dalaman kepala, selain kecederaan pada badan dan kaki dalam kejadian 2.40 pagi itu.

Anak mangsa berkata, sebelum kejadian iaitu kira-kira 12 tengah malam, dua lelaki minum arak di dalam sebuah kereta di parkir belakang sebuah restoran di Plaza Pandan Malim, di sini.

"Kira-kira 2.40 pagi saya dan ayah terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi muzik membingitkan dari arah kawasan parkir itu.

"Ayah kemudian pergi menegur mereka dengan baik sebelum kedua-dua lelaki itu beredar meninggalkan kawasan terbabit," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dakwanya, kira-kira 10 minit kemudian, kedua-dua lelaki terbabit datang semula dengan menaiki kereta sama sambil memasang muzik yang lebih kuat sebelum beredar meninggalkan kawasan itu.

"Baru saja hendak baring, mereka sekali lagi datang membuat bising beberapa minit selepas itu membuatkan saya dan ayah keluar untuk meminta kedua-dua lelaki itu beredar.

"Namun, secara tiba-tiba kereta itu cuba merempuh saya, tapi mujur saya sempat mengelak dan berlari ke belakang sebuah restoran 24 jam di bangunan plaza berkenaan.

"Saya kemudian lihat kereta itu berpusing dan menuju ke arah bapa yang tidak sempat mengelak dan hanya mampu berpaut di atas bonet hadapan dan terseret sejauh kira-kira 20 meter ke arah belakang kedai," katanya.

Menurutnya, dia menjerit meminta tolong dan berkejar ke arah ayahnya yang terjatuh dan berlumuran darah di belakang kepala, dipercayai akibat terhantuk pada tebing batu longkang sebelum kedua-dua lelaki itu terus memecut kenderaan dan meninggalkan lokasi.

Katanya, berikutan awal pagi, tiada jiran menyedari kejadian dan dalam keadaan panik itu dia segera menghubungi ambulans yang membawa ayahnya ke Hospital Melaka.

Jenazah arwah yang juga bapa kepada tujuh anak akan disembahyangkan di Masjid Kampung Padang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi berkata, hasil siasatan, pihaknya memberkas lelaki berusia 28 tahun yang direman tujuh hari mulai semalam dan masih mengesan seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan kes ini

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!






Shopee Affiliates

Belajar Buat Duit Shopee Affiliates edisi lengkap

RM 9.90 Sahaja

(136k Terjual)